28 Oktober 2009
4 Zulkaedah 1430
Kepada:
Semua Penduduk
Jalan 9 & 10 Desa Melor, Serendah
Assalamualaikum , Salam Sejahtera & Salam Perpaduan
Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang hadir ke majlis Hari Raya Perpaduan yang telah diadakan pada 17hb yang lepas. Kami berasa amat gembira dan berbesar hati menerima kesudian tuan-tuan dan puan-puan serta semua yang hadir memeriahkan lagi majlis tersebut. Dalam suasana penuh kemesraan, dimurnikan lagi dengan semangat perpaduan yang sedia terjalin antara kita dan dikesempatan tersebut bukan sahaja telah berjaya merapatkan lagi hubungan antara mereka yang hadir, malah ianya juga telah menjadi bukti semangat perpaduan yang selama ini diamalkan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia khususnya di kawasan kita ini.
Inilah semangat yang sememangnya menjadi agenda utama diadakan majlis ini dari setiap peringkat masyarakat, tanpa mengira latar belakang kaum mahupun asal usul bangsa, rakyat dalam kejiranan kita. Selain daripada itu, semangat perpaduan antara kaum juga merupakan elemen asas yang paling penting perlu dimiliki oleh setiap individu dalam masyarakat kita. Kepelbagaian keistimewaan yang dimiliki oleh penduduk jalan 9 & 10 inilah sewajarnya dilihat sebagai satu kelebihan yang menjadi sumber kekuatan kepada kejiranan kita. Melalui majlis sebegini, kami berharap semangat perpaduan, toleransi, kerjasama dan bersatu padu yang selama ini menjadi budaya kita dapat terus diamalkan dalam masyarakat kita, selaras dengan saranan gagasan Satu Malaysia.
Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan sekalung tahniah kepada AJK, Wakil Jalan, Semua Penduduk dan mereka yang telah memberikan sumbangan tenaga, masa dan kewangan dalam menjayakan agenda perpaduan ini. Harapan kami semoga acara sebegini dan semangat kerja berpasukan dalam komuniti ini dapat terus dikekalkan dimasa yang akan datang.
’Kita Kekalkan Prestasi Terbaik Komuniti 910’
Ingatan Tulus Ikhlas dari ,
Pengerusi & AJK
KOMUNITI 910 DESA MELOR, SERENDAH.